Pas punca perpecahan blok pembangkang

Pas punca perpecahan blok pembangkang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kepimpinan Pas didakwa menjadi punca perpecahan dalam blok pembangkang sehingga menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Putrajaya.

Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, tindakan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pelantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dan penyingkiran pemimpin Bersatu daripada jawatan dalam PN telah memberi kesan kepada kesatuan gabungan pembangkang.

“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Pas kerana telah memecahkan kesatuan blok pembangkang.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin UMNO mungkin mempunyai sebab untuk berterima kasih kepada kepimpinan Pas kerana tindakan tersebut didakwa telah menyumbang kepada kelemahan pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, sekiranya PN dapat mengekalkan kesatuannya sebagai satu blok pembangkang, terdapat kemungkinan gabungan itu mampu menawan Putrajaya.

Katanya, kegagalan kepimpinan Pas yang diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang memanfaatkan peluang politik tersebut merupakan kelemahan terbesar parti itu.

“Malangnya, Pas dengan segala retorik politiknya gagal memahami hakikat politik yang amat penting untuk mencapai kemenangan pilihan raya.

“Akibat pemutusan hubungan dengan Bersatu, adalah diragui sama ada pembangkang yang diterajui Pas mampu memberikan impak yang signifikan dalam politik nasional,” katanya.

Ramasamy turut mendakwa Pas gagal mengamalkan perspektif kebangsaan dan lebih cenderung membina kekuatan politik berasaskan beberapa negeri tertentu.

Beliau berkata, sekiranya Pas mempunyai orientasi politik yang lebih bersifat nasional, hubungan dengan Bersatu boleh diperbaiki memandangkan perbezaan antara kedua-dua parti itu masih boleh diatasi.

“Adalah terlalu awal untuk menganggap Bersatu telah lenyap daripada landskap politik negara kerana parti itu masih berpotensi bangkit semula.

“Tanpa bebanan Pas, satu ufuk politik yang lebih luas mungkin kini terbuka kepada Bersatu. Politik bukanlah sesuatu yang bersifat satu dimensi, ia adalah tentang bangkit daripada kemelut dengan kekuatan dan semangat yang baharu.

“Bersatu yang tidak lagi bersama Pas berkemungkinan muncul sebagai sebuah parti politik yang berbeza secara kualitatif berbanding sebelum ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN