KULAI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa kerajaan Pusat menyegerakan pelaksanaan projek Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) sebagai penyelesaian utama menyuraikan trafik di bandar raya Johor Bahru apabila perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) mula beroperasi, tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beberapa langkah penyuraian yang sedang dilakukan ketika ini hanya penyelesaian jangka masa pendek, dan bukan penyelesaian terbaik mengatasi isu kesesakan.
Katanya, antara langkah itu termasuklah memperluas kemudahan ‘Park & Ride’, pengurusan trafik pintar serta pengurusan semula pergerakan bas, teksi dan e-hailing di Johor Bahru Sentral.
“Langkah-langkah jangka pendek dan sederhana ini terpaksa kita laksanakan kerana projek utama yang mampu menyuraikan trafik selepas RTS Link beroperasi masih belum dimulakan.
“Jadi Yang Berhormat Menteri, ada satu projek yang perlu kita berikan tumpuan dan segerakan, iaitu projek E-ART. Projek ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 2024, tetapi sehingga kini kerja-kerja fizikalnya masih belum dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri termasuk rakyat pelbagai kaum masih menantikan garis masa pelaksanaan projek berimpak tinggi tersebut.
“Persoalannya sekarang, bilakah projek ini akan dimulakan, orang Johor tertanya-tanya, bilakah kita boleh lakukan lawatan tapak bersama-sama bagi projek ini. Setakat saya faham, ‘Letter of Award’ masih belum dikeluarkan.
“Sedangkan selepas kerja telah dimulakan sekalipun, projek ini dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata, kekurangan sistem pengangkutan awam bandar yang cekap dan berkapasiti tinggi di Johor Bahru dikhuatiri akan menambah tekanan terhadap rangkaian jalan raya di kawasan berkenaan.
“Kita tumpang gembira apabila projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang yang mempunyai siling bajet RM16.8 bilion telah dimulakan dengan projek itu disasarkan siap pada penghujung 2031. Setiap negeri berhak menikmati kemudahan pengangkutan awam yang baik.
“Namun, kita juga berharap Johor jug diberikan perhatian dan keutamaan yang sama. Daerah Johor Bahru mempunyai kira-kira 1.8 juta penduduk, hampir menyamai keseluruhan penduduk Pulau Pinang.
“Johor Bahru juga merupakan pintu masuk antarabangsa utama negara dengan kadar pergerakan rentas sempadan yang sangat tinggi,” katanya.
Onn Hafiz turut memberitahu, projek E-ART bukan sebuah projek pembangunan biasa, sebaliknya merupakan inisiatif penting yang akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
“Inilah bentuk intervensi Persekutuan yang benar-benar boleh dirasai, dihargai dan
diingati rakyat. Yang Berhormat Menteri, kalau projek ini dapat disegerakan, kreditnya besar kepada Kerajaan Persekutuan. The credit is all yours, tetapi jika ada sebarang isu berbangkit, saya berharap kebertanggungjawaban juga.
“Mungkin kita ada perbezaan dalam beberapa perkara, seorang menteri mempunyai kuasa besar dan peruntukan besar, namun begitu saya percaya setinggi mana kedudukan, amanah seorang pemimpin tetap sama iaitu bekerja demi kepentingan rakyat.
“Rakyat tidak menilai siapa umum lebih banyak projek, tetapi rakyat akan menilai siapa yang banyak membantu memudahkan kehidupan rakyat Johor,” katanya.-UTUSAN










