Akta Perikanan diperkasa: Denda RM1 juta rosak taman, rizab laut - Utusan Malaysia

Akta Perikanan diperkasa: Denda RM1 juta rosak taman, rizab laut

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Denda maksimum sehingga RM1 juta boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan kawasan taman laut dan rizab laut di bawah pindaan Akta Perikanan 2025 [Akta A1780] yang berkuat kuasa semalam.

Bagi kesalahan menggunakan bahan letupan, racun, pencemar, arus elektrik dan peralatan terlarang untuk menangkap ikan, hukuman ditingkatkan kepada denda maksimum RM250,000 dan penjara hingga lima tahun di bawah Seksyen 26.

Selain itu, pindaan turut memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu denda maksimum sebanyak RM250,000 kepada pihak yang mengganggu hidupan mamalia akuatik dan penyu.

Penalti am di bawah Seksyen 25 bagi kesalahan penggunaan kaedah penangkatan yang merosakkan sumber perikatan turut dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM100,000.

Bagaimanapun, kadar minimum kompaun bagi kesalahan kecil melibatkan peralatan tradisional dikurangkan daripada RM500 kepada RM100 bagi memastikan pendekatan yang lebih seimbang.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penguatkuasaan akta memberi mesej jelas Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh khazanah laut negara.

Beliau berkata, pindaan Akta Perikanan menandakan langkah penting dalam memperkukuh tadbir urus sektor perikanan negara, membanteras aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), serta melindungi sumber perikanan demi keterjaminan makanan negara.

“Akta 317 bukan sekadar meningkatkan hukuman, malah menjadi instrumen penting dalam melindungi sumber marin negara dan memastikan kelestarian sektor perikanan untuk generasi akan datang.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh, merosakkan atau mencuri khazanah laut negara.

“Penguatkuasaan yang lebih tegas ini penting bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara, kesejahteraan komuniti nelayan yang mematuhi undang-undang terus terbela serta bekalan makanan negara kekal terjamin,” katanya dalam kenyataan.

Pindaan Akta juga memberikan Ketua Pengarah kuasa untuk menyekat pesalah yang lesennya dibatalkan di bawah Akta 317 daripada memohon lesen baharu bagi tempoh tidak melebihi lima tahun.

Akta turut memperkenalkan peruntukan baharu yang membolehkan larangan aktiviti perikatan di kawasan tercemar seperti kejadian `Harmful Algal Bloom’ atau pencemaran kimia bagi memastikan keselamatan hasil perikanan yang dipasarkan.

Adnan berkata, bagi memastikan tahap kompetensi dan kesiapsiagaan anggota penguatkuasa sentiasa berapa pada tahap terbaik, Jabatan Perikatanan katannya, turut melaksanakan Program Ujian Kemahiran Menambak, melibatkan 72 anggota daripada 14 Pangkalan Konservasi di seluruh negara.

“Melalui pemerkasaan penguatkuasaan, penggunaan teknologi seperti Sistem Pemantauan Vesel (VMS) dan SIstem Pengenalpastian Automatik (AIS) serta kerjasama strategik bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Perikatan komited untuk terus mempertahankan kedaulatan sumber perikanan negara demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian khazanah laut Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN