KUALA LUMPUR: Pemain remaja negara, Noraqilah Maisarah Ramdan mengakui gandingannya bersama Low Zi Yu semakin menunjukkan keserasian, walaupun, mereka masih baharu digandingkan bersama.
Anak jati Melaka itu berkata, mereka kini semakin serasi dan sudah mampu memberi saingan lebih baik kepada pasangan ranking lebih tinggi, termasuk menewaskan beregu No. 8 dunia, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan pada Terbuka Australia, minggu lalu.
“Kali terakhir kami bertemu pasangan Taiwan itu, kami masih belum mampu memberi tekanan kepada mereka.
“Tetapi sekarang, dalam tempoh kira-kira dua bulan, kami sudah berjaya mengatasi lawan yang sama. Saya rasa itu perkembangan yang baik untuk kami,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Menurut Noraqilah, pada awalnya dia tidak meletakkan harapan tinggi terhadap gandingannya dengan Zi Yu kerana sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada acara beregu campuran.
Bagaimanapun katanya, selepas beberapa kejohanan bersama Zi Yu, dia mula melihat potensi mereka untuk bersaing dengan pasangan handalan dunia.
“Sebelum ini kami hanya berlatih seperti biasa tanpa meletakkan sebarang sasaran. Tetapi sekarang kami sudah mula menetapkan hala tuju dan fokus untuk pergi ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sasaran, pemain berusia 18 tahun itu berkata, dia dan Zi Yu kini menyasarkan untuk menembusi kedudukan 50 terbaik dunia terlebih dahulu sebelum memburu ranking dalam kelompok 32 terbaik.
“Kami mahu capai satu demi satu. Buat masa ini sasaran kami adalah kelompok 50 terbaik dahulu,” katanya yang kini berada di ranking ke-70 dunia bersama Zi Yu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tempoh rehat yang diharunginya sementara menanti Zi Yu menyertai Kejohanan Remaja Asia, Noraqilah berkata, dia akan menggunakan peluang itu untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam permainannya.
“Saya mahu perbaiki kekurangan yang dikenal pasti daripada kejohanan sebelum ini. Fokus utama saya sekarang ialah konsistensi,” katanya.
Noraqilah yang kini beraksi dalam dua acara menjelaskan, jadual padat memberi cabaran dari segi fizikal, namun, menganggap pengalaman tersebut membantu meningkatkan stamina dan kematangannya sebagai pemain.
Dia turut mengakui pengalaman dalam acara beregu campuran banyak membantu corak permainannya dalam beregu wanita, terutama dari segi permainan di bahagian depan gelanggang.
“Dalam acara campuran, permainan lebih laju kerana perlu berdepan pemain lelaki. Jadi, ia membantu saya menjadi lebih pantas di depan gelanggang,” katanya. – UTUSAN










