MORRISTOWN: Bintang sensasi Brazil, Neymar dilaporkan menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya daripada kecederaan betis yang dialaminya menjelang Piala Dunia, sekali gus meningkatkan peluangnya untuk beraksi bersama skuad kebangsaan negara itu.
Perkembangan tersebut disahkan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) selepas pemain berusia 34 tahun itu menjalani imbasan Pengimejan Resonan Magnet (MRI), semalam.
Menurut CBF, keputusan pemeriksaan menunjukkan Neymar berada di landasan tepat untuk kembali cergas mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh pasukan perubatan Brazil.
“Dia menunjukkan perkembangan yang baik dalam rawatan yang sedang dijalani dan akan terus mengikuti program pemulihan serta kecergasan yang telah dirancang oleh kakitangan perubatan pasukan,” kata CBF.
Neymar sebelum ini disahkan mengalami kecederaan betis pada penghujung bulan lalu dan sejak itu berusaha keras untuk mendapatkan kembali tahap kecergasan terbaik menjelang saingan Piala Dunia di Amerika Syarikat.
Brazil dijadual membuka tirai kempen mereka menentang Maghribi di Stadium MetLife, New Jersey, Sabtu ini.
Bagaimanapun, Neymar tidak menyertai sesi latihan pasukan semalam di pusat latihan baharu milik kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), New York Red Bulls, sebaliknya menjalani latihan pemulihan dan kecergasan di gimnasium.
Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil serta menjadi watak penting dalam tiga kempen Piala Dunia terdahulu.
Namun, pemilihannya ke kejohanan kali ini menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati selepas masalah kecederaan berpanjangan menyaksikannya tidak lagi beraksi untuk Brazil sejak 2023.
Musim ini, Neymar yang kini menyarung jersi Santos hanya beraksi dalam separuh daripada jumlah perlawanan kelabnya dalam saingan liga domestik, piala kebangsaan dan Copa Sudamericana akibat beberapa masalah kecergasan.
Sementara itu, pengendali Brazil, Carlo Ancelotti sebelum ini menegaskan bahawa dia tidak mahu mengambil risiko dengan tergesa-gesa menurunkan Neymar dan yakin pemain itu mampu bersedia sama ada untuk perlawanan pertama atau kedua pasukan dalam kejohanan tersebut. – AFP










