NEW DELHI: Ibu negara India akan melarang pendaftaran baharu kenderaan dua roda serta trak kecil yang menggunakan petrol dan gas asli di jalan raya dalam tempoh dua tahun akan datang, sebagai langkah agresif untuk mengekang pencemaran udara di New Delhi.
New Delhi hanya akan mengeluarkan nombor pendaftaran untuk trak kecil elektrik dan kenderaan pengangkutan penumpang tiga roda elektrik mulai 1 Januari 2027, manakala bagi motosikal dan skuter bermula 1 April 2028.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri New Delhi, Rekha Gupta, menerusi platform X semalam selepas Kabinet meluluskan dasar kenderaan elektrik (EV) baharu bernilai 150 bilion rupee (RM6.4 bilion).
Kereta elektrik dan kenderaan utiliti yang berharga sehingga tiga juta rupee akan dikecualikan daripada cukai jalan serta yuran pendaftaran di bawah pelan tersebut.
Setiap musim sejuk, apabila suhu rendah memerangkap pelepasan daripada trafik, pembinaan dan pembakaran tanaman, langit New Delhi akan bertukar kelabu toksik.
Menurut kerajaan negeri, pelepasan kenderaan menyumbang kira-kira 23 peratus daripada pencemaran udara di bandar itu.
Dasar EV baharu itu disifatkan sebagai antara usaha paling besar di peringkat bandar di India ke arah elektrifikasi, kata Pegawai Eksekutif pengeluar skuter elektrik Ather Energy, Tarun Mehta.
Di bawah dasar baharu ini, insentif untuk pengguna yang membeli EV akan mula dilaksanakan pada Julai, termasuk subsidi tunai sebanyak 30,000 rupee bagi pembelian motosikal elektrik pada tahun pertama, serta 50,000 rupee untuk kenderaan tiga roda elektrik.
Kenderaan hibrid tidak layak menerima subsidi, manakala trak elektrik kecil akan menerima insentif sebanyak 100,000 rupee pada tahun pertama.
Dasar itu turut membenarkan insentif sehingga 100,000 rupee bagi program pelupusan kenderaan lama merentasi semua kategori untuk digantikan dengan EV.
Sektor kenderaan elektrik merupakan antara segmen yang berkembang pesat, namun masih merangkumi bahagian kecil daripada industri automotif India secara keseluruhan.
New Delhi merupakan antara pasaran EV terbesar di negara itu dan mendahului dalam kadar penerimaan awal teknologi tersebut.- BLOOMBERG










