VANCOUVER: Persiapan Mesir menjelang aksi penentuan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang Iran sedikit terganggu apabila permohonan pasukan itu untuk terbang terus ke Seattle ditolak pihak keselamatan tempatan.
Keputusan tersebut memaksa skuad kendalian Hossam Hassan kembali ke pangkalan latihan mereka di Spokane, kira-kira 450 kilometer dari Seattle, sebelum meneruskan perjalanan ke venue perlawanan.
Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA), permohonan untuk kekal di Seattle selepas kemenangan ke atas New Zealand tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Pihak keselamatan menolak permohonan pasukan untuk berada di Seattle seperti yang dirancang selepas perlawanan menentang New Zealand, justeru delegasi pasukan akan kembali ke Spokane,” kata Hossam.
Laporan media antarabangsa menyebut Mesir mengemukakan permohonan tersebut bagi memudahkan persiapan menjelang pertemuan penting dengan Iran yang bakal menentukan nasib mereka ke pusingan kalah mati.
Mesir kini berada dalam kedudukan baik selepas mencatat kemenangan bersejarah 3-1 ke atas New Zealand Ahad lalu dengan Mohamed Salah turut menemui sasaran untuk membantu pasukan menghidupkan impian mara ke pusingan 32 terbaik. – AGENSI










