Mesir hampiri pusingan kalah mati

Mesir hampiri pusingan kalah mati

PEMAIN MESIR, Trezeguet menanduk masuk gol ketiga ketika membantu pasukannya menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Vancouver, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Mesir mencatat kemenangan pertama dalam sejarah penampilan mereka di pentas Piala Dunia selepas menewaskan New Zealand 3-1 dalam aksi Kumpulan G di Vancouver, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Penyerang sensasi, Mohamed Salah menjadi antara watak penting apabila menjaringkan satu gol selain mencipta satu bantuan jaringan, manakala Mostafa Zico dan Trezeguet masing-masing meledak satu gol.

New Zealand terlebih dahulu mengejutkan Mesir apabila Finn Surman menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-15, namun Mesir bangkit mengikat kedudukan hasil tandukan Zico yang memanfaatkan hantaran Mohamed Hany.

Bersambung babak kedua, Mesir tampil lebih agresif sebelum Salah meletakkan pasukan di depan pada minit ke-67 menerusi rembatan kaki kiri hasil gerakan kemas bersama Zico.

Skuad Mesir kemudian memastikan kemenangan apabila Salah melakukan hantaran kepada Trezeguet yang menanduk masuk gol ketiga perlawanan bagi menutup peluang kebangkitan New Zealand.

“Saya rasa pada tahun-tahun akan datang, kita akan mengingati ini sebagai salah satu pencapaian dalam sejarah,” kata Salah.

PENYERANG Mesir, Mohamed Salah (tengah) diasak pemain New Zealand ketika kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Vancouver, semalam. – AFP

Salah turut memuji sokongan padu penyokong Mesir yang membanjiri stadium sehingga mewujudkan suasana seolah-olah bermain di laman sendiri.

“Kami berasa seperti bermain di Mesir. Ia satu kemenangan dan suasana yang hebat,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Mesir kini menerajui Kumpulan G dengan empat mata dan hanya memerlukan keputusan seri ketika menentang Iran di Seattle pada Jumaat ini untuk melayakkan diri ke pusingan 32 terbaik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN