BOSTON: Juara dunia dua kali, Perancis dijangka hanya melakukan beberapa perubahan kecil apabila turun menentang Iraq dalam aksi kedua Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Boston,esok.
Selepas membuka kempen dengan kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Senegal, Les Bleus kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan tiket ke pusingan 32 terbaik.
Jurulatihnya, Didier Deschamps dilihat lebih cenderung mengekalkan kestabilan pasukan berbanding melakukan rombakan besar, meskipun memiliki ramai pemain berkualiti di bangku simpanan.
Perubahan yang berpotensi dilakukan ialah di bahagian kiri pasukan apabila Bradley Barcola dijangka menggantikan Desire Doue di posisi sayap, manakala Lucas Digne berkemungkinan mengambil alih tempat Theo Hernandez di bek kiri.
Di bahagian tengah, Manu Kone semakin hampir untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas sering digandingkan bersama Adrien Rabiot dalam sesi latihan sejak beberapa hari lalu.
Namun, tonggak utama pasukan dijangka kekal diketuai penyerang sensasi, Kylian Mbappe yang meledak dua gol ketika menewaskan Senegal, selain dibantu Michael Olise dan Ousmane Dembele di jentera serangan.
Walaupun kelayakan ke pusingan seterusnya menjadi keutamaan, perlawanan ini turut memberi peluang kepada Deschamps menguji beberapa kombinasi baharu menjelang aksi kalah mati tanpa menjejaskan rentak pasukan.
Iraq pula berdepan tekanan besar selepas dibelasah Norway 1-4 dalam aksi pembukaan dan mereka memerlukan keputusan positif untuk terus menghidupkan peluang mara.
Namun, pertahanan Perancis, William Saliba mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah keupayaan Iraq.
“Kami sudah menonton rakaman perlawanan mereka menentang Norway dan saya fikir mereka memiliki pasukan yang baik.
“Ia tidak akan mudah. Hanya kerana kami menentang Iraq, bukan bermakna kami akan mendapat tiga mata secara automatik,” katanya.
Sementara itu, Iraq bakal turun dengan misi wajib menang ke atas Perancis biarpun secara atas kertas dilihat bakal didominasi oleh skuad Deschamps.
Skuad kendalian Graham Arnold bakal mempertaruhkan gandingan penjaring terbanyaknya, Aymen Hussein dan Ali Al-Hamadi serta kreativiti pemai tengah, Zidane Iqbal dalam merobek gawang Perancis.-AGENSI










