PHILADELPHIA: Kylian Mbappe terus menghangatkan perlumbaan penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia selepas meledak dua gol ketika membantu Perancis menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Kumpulan I yang tertangguh lebih dua jam akibat ribut petir, hari ini.
Penyerang Real Madrid itu membuka jaringan seawal minit ke-14 sebelum menambah gol kedua pada awal babak kedua untuk membawa koleksi jaringan Piala Dunianya kepada 16 gol.
Kemenangan itu turut memastikan skuad Les Bleus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik selepas mengutip dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Bagaimanapun, perlawanan di Stadium Philadelphia terpaksa dihentikan sebaik tamat babak pertama apabila hujan lebat dan ribut petir melanda kawasan sekitar stadium.
Penyokong diarahkan meninggalkan tempat duduk terbuka dan mencari perlindungan mengikut protokol keselamatan ketat yang diamalkan di Amerika Syarikat (AS) setiap kali ribut dikesan berhampiran venue perlawanan.
Selepas permainan disambung semula lebih dua jam kemudian, Iraq terus dihukum apabila kesilapan mudah benteng mereka membolehkan Mbappe menyempurnakan gol kedua pada minit ke-54.
Ousmane Dembele kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Perancis apabila meledak gol ketiga hasil hantaran Michael Olise pada minit ke-66.
Mbappe kini hanya dibezakan dua gol di belakang Lionel Messi yang mencipta rekod baharu dengan 18 jaringan Piala Dunia selepas membantu Argentina menewaskan Austria 2-0 beberapa jam lebih awal. – AFP










