INGLEWOOD: Pemain muda sensasi, Johan Manzambi mengakui impiannya menjadi kenyataan selepas meledak dua gol magis sebagai pemain gantian, sekali gus mengemudi Switzerland membenam Bosnia dan Herzegovina 4-1 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi tadi.
Kemasukan perancang tengah berusia 20 tahun itu pada babak kedua di Stadium Los Angeles ternyata menjadi cetusan kebangkitan luar biasa Rossocrociati, yang sebelum ini dikritik hebat selepas sekadar terikat 1-1 menentang Qatar pada aksi pembukaan.
“Ia sesuatu yang luar biasa. Ini merupakan dua gol pertama saya dalam satu perlawanan sepanjang karier profesional saya.
“Lebih istimewa dan bermakna apabila detik ini tercipta di pentas Piala Dunia, terutamanya ketika pasukan sangat memerlukan kemenangan selepas permulaan hambar,” katanya.
Mengulas mengenai gol pertamanya, bintang muda kelab Freiburg itu mengakui dia perlu bertindak pantas dalam situasi kucar-kacir di kawasan kubu lawan.
“Sejujurnya, ruang di dalam kotak penalti sangat sempit. Saya tidak mempunyai banyak pilihan atau masa untuk berfikir, tetapi syukur rembatan itu membuahkan hasil,” jelas Manzambi.
Impak besar yang dicetuskan Manzambi mendapat pujian melambung daripada pengendali Switzerland, Murat Yakin yang kagum dengan fleksibiliti dan kualiti pemain muda tersebut.
“Johan ialah seorang pemain yang sentiasa ceria tetapi memiliki kualiti yang sangat tinggi. Dia mengharungi musim yang hebat bersama Freiburg.
“Apa yang menarik, dia mampu beraksi cemerlang di pelbagai posisi sama ada di benteng pertahanan, tengah, sayap, mahupun penyerang,” ulas Yakin.
Kemenangan bergaya ini bukan sahaja menghidupkan peluang Switzerland untuk mara ke pusingan kalah mati, malah menjadi hadiah paling bermakna buat Manzambi yang turut disaksikan oleh ahli keluarganya di stadium.-AGENSI










