DALLAS: Lionel Messi sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pemain terhebat dalam sejarah bola sepak apabila memecahkan rekod jaringan Piala Dunia dan memastikan Argentina mara ke pusingan kalah mati.
Bintang berusia 39 tahun itu, meledak dua gol bagi membantu Argentina menewaskan Austria 2-0 di Stadium Dallas, semalam sekali gus menghadiahkan kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan J.
Jaringan itu juga menyaksikan Messi mencipta sejarah baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di Piala Dunia dengan 18 gol.
Jumlah itu membolehkan Messi mengatasi rekod penjaring terbanyak kejohanan yang sebelum ini dipegang Miroslav Klose dengan 16 gol, selain melepasi rekod wanita milik legenda Brazil, Marta, yang mengumpul 17 gol.
Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, mengakui kehabisan kata-kata untuk menggambarkan impak luar biasa Messi yang kekal sebagai nadi utama skuad juara bertahan itu.
Menurutnya, komitmen bekas rakan sepasukannya itu tidak pernah berkurang walaupun berada di penghujung karier.
“Ketika pasukan bergelut tanpa bola, dia bekerja keras dan berjaya merampas semula bola. Ada sebab mengapa dia berada pada tahap ini.
“Ia kerana komitmennya dan apa yang mampu disumbangkan kepada pasukan. Saya sudah tiada kata-kata lagi untuk bercakap mengenai Leo (Messi),” kata Scaloni.
Beliau turut memuji mentaliti anak buahnya selepas berdepan tentangan sengit Austria yang dibimbing Ralf Rangnick.
Scaloni mengakui Argentina terpaksa bertahan dalam tempoh tertentu dalam perlawanan itu, namun pengalaman dan kematangan pasukannya membolehkan mereka mengharungi tekanan sebelum Messi muncul sebagai pemisah.
“Kami memang menderita hari ini. Ada ketikanya mereka menyukarkan kami dan kami tidak menguasai bola.
“Namun, pasukan ini tahu bagaimana untuk bertindak dalam setiap situasi. Tiada siapa menjangka perlawanan ini mudah dan dua perlawanan yang kami harungi setakat ini memang sukar,” ujarnya.
Sementara itu, Rangnick mengakui kehebatan jaringan Messi selepas pasukannya tewas dan menegaskan tidak banyak yang mampu dilakukan pasukannya untuk mengekang bekas bintang Barcelona itu sepanjang 90 minit.
“Jika seseorang berusia 39 tahun dan mampu menjaringkan dua gol serta lima gol secara keseluruhan pada permulaan Piala Dunia, itu sememangnya memberi perbezaan.
“Kami tahu dia berada pada tahap tersendiri dan Lionel Messi membuktikan dia adalah salah seorang pemain terbaik atau mungkin yang terbaik. Dia tidak memerlukan banyak peluang untuk menentukan keputusan perlawanan,” katanya.-AGENSI










