Maghribi tempang bertemu Brazil

Maghribi tempang bertemu Brazil

PEMAIN Maghribi, Abde Ezzalzouli (kiri) ketika beraksi dalam aksi persahabatan menentang Norway, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW JERSEY: Harapan Maghribi untuk mencipta kejutan pada Piala Dunia 2026 menerima tamparan hebat apabila dua tonggak utama mereka, Abde Ezzalzouli dan Nayef Aguerd, disahkan terlepas kejohanan akibat kecederaan.

Sayap lincah Real Betis, Ezzalzouli, mengalami kecederaan lutut ketika aksi persahabatan menentang Norway minggu lalu, sekali gus memaksanya diketepikan daripada skuad akhir Maghribi.

Tempat pemain berusia 23 tahun itu digantikan oleh penyerang Angers, Amine Sbai berdasarkan senarai skuad terkini yang dikemas kini oleh Persekutuan Bolasepak Antarabagsa (FIFA).

Lebih membimbangkan, pertahanan tengah berpengalaman Marseille, Aguerd, turut terpaksa menarik diri selepas gagal pulih daripada kecederaan pangkal paha yang memerlukan pembedahan sejak Mac lalu.

Ketiadaan Aguerd membuka ruang kepada pemain yang beraksi di Arab Saudi, Marwane Saadane, untuk menyertai skuad kendalian Mohamed Ouahbi.

Kapten Maghribi, Achraf Hakimi, meluahkan rasa kecewa dengan nasib yang menimpa kedua-dua rakan sepasukannya itu sambil menitipkan kata-kata semangat menerusi media sosial.

“Bola sepak kadangkala sangat kejam. Terima kasih atas segala sumbangan kepada pasukan sejak hari pertama. Kami akan terus berjuang untuk kalian. Kami sayang kalian,” katanya.

Kehilangan dua pemain penting itu dianggap satu tamparan besar buat skuad Atlas Lions yang mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia pada edisi 2022.

Maghribi bakal memulakan kempen Kumpulan C dengan cabaran getir menentang juara dunia lima kali, Brazil, di New Jersey pada awal pagi esok sebelum berdepan Scotland dan Haiti.

Sementara itu, Penjaga gol Brazil, Alisson Becker percaya status bukan pilihan utama untuk menjuarai Piala Dunia 2026  menjadi senjata rahsia buat Selecao dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan dunia selama 24 tahun.

Menurut tonggak Liverpool itu, keraguan yang menyelubungi skuad kendalian Carlo Ancelotti ketika ini bukan sesuatu yang baharu, malah pernah berlaku sebelum mereka muncul juara dunia pada edisi 2002 di Jepun dan Korea Selatan.

“Adalah sesuatu yang baik apabila ada pihak yang meragui kemampuan pasukan ini. Situasi seperti itu pernah berlaku sebelum ini dan akhirnya kami berjaya muncul juara,” katanya.–AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN