Maghribi buru tiga mata penuh

Maghribi buru tiga mata penuh

Kemenangan ke atas Haiti akan menjamin tempat Maghribi dalam kelompok dua pasukan terbaik kumpulan, namun keputusan seri atau kekalahan juga mungkin sudah memadai sekiranya Scotland gagal mengatasi Brazil dalam satu lagi aksi kumpulan. - - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGIA: Maghribi wajib membenam Haiti dalam aksi terakhir Kumpulan C, esok sekiranya mahu memastikan slot ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menjadi milik mereka.

Skuad kendalian Mohamed Ouahabi Itu mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama selepas mencatat keputusan memberangsangkan menentang Brazil dan Scotland.

Kemenangan ke atas Haiti akan menjamin tempat Maghribi dalam kelompok dua pasukan terbaik kumpulan, namun keputusan seri atau kekalahan juga mungkin sudah memadai sekiranya Scotland gagal mengatasi Brazil dalam satu lagi aksi kumpulan.

Sebagai pasukan yang mencipta sensasi dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar, Maghribi dilihat memiliki kelebihan besar untuk menundukkan Haiti.

Mereka juga tampil dengan rekod cemerlang apabila tidak pernah tewas dalam enam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia dengan mencatat tiga kemenangan dan tiga keputusan seri.

Selain itu, Maghribi kini menikmati rentetan 31 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan hasil 26 kemenangan dan lima keputusan seri.

Sementara itu, Haiti berdepan tugas yang cukup sukar apabila masih gagal meraih sebarang mata dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia.

Pasukan Caribbean yang menduduki ranking ke-87 dunia itu tewas kepada Scotland dan Brazil dalam dua aksi awal Kumpulan C, sekali gus menjadi pasukan pertama yang tersingkir secara matematik daripada kejohanan kali ini.

Selepas tewas tipis 0-1 kepada Scotland, Haiti sekali lagi gagal memberi tentangan bermakna apabila dibelasah Brazil 0-3 dalam aksi kedua mereka.

Justeru, pertemuan menentang Maghribi hanya menjadi medan untuk mereka menebus maruah dan mengelakkan rekod lebih buruk.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN