Lima suspek sasar lelaki gay ditahan - Utusan Malaysia

Lima suspek sasar lelaki gay ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Hasrat sembilan lelaki gay menghadiri temu janji dengan lelaki yang baharu dikenali menerusi aplikasi media sosial bertukar padah apabila mereka disamun secara berkumpulan pada malam pertama pertemuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, sejak Januari hingga Mei lalu, pihaknya telah menerima sembilan laporan daripada mangsa berlainan yang berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah menggunakan aplikasi berkenaan dan mengajak mangsa untuk berjumpa dalam kenderaan milik suspek di sekitar Taman Pelangi dan Majidee.

“Apabila mangsa dan suspek telah berada di dalam kenderaan, rakan-rakan suspek yang menyamar sebagai pengawal keselamatan di kawasan berkenaan akan mengugut mangsa dengan menuduh mereka melakukan aktiviti tidak sopan.

“Mangsa kemudian dicederakan sebelum diminta membayar wang tunai atau menyerahkan barangan kemas milik mereka. Kerugian melibatkan kes-kes ini berjumlah RM315,220,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, kegiatan sekumpulan suspek itu terbongkar apabila pihaknya berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun di Cameron Highlands, Pahang pada pukul 11.30, 30 Mei lalu.

“Polis turut merampas lima telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza, lima keping kad kredit, empat rantai emas, empat pasang subang telinga, dua cincin emas dan dua gelang emas.

“Semakan dibuat mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah, manakala ujian urin mendapat kesemuanya negatif.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dimana tiga daripadanya akan didakwa, esok,” katanya.

Tambah Ab. Rahaman, aplikasi berkenaan merupakan satu rangkaian sosial temujanji yang digunakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Habis..

Caption:

AB. RAHAMAN Arsad (tengah) menunjukkan antara barangan kemas milik mangsa yang disamun sekumpulan lelaki pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN