Ketepikan perbezaan kaum demi keharmonian negara - Utusan Malaysia

Ketepikan perbezaan kaum demi keharmonian negara

NGA Kor Ming berucap pada perasmian Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Rakyat perlu terus bersatu padu dan mengetepikan perbezaan kaum serta fahaman politik bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, seperti sebuah orkestra yang memerlukan setiap alat muzik dimainkan secara harmoni untuk menghasilkan persembahan yang menarik, rakyat daripada pelbagai latar belakang juga perlu bekerjasama demi mencapai keharmonian negara.

Menurut beliau, kepelbagaian yang dimiliki Malaysia bukanlah satu kelemahan sebaliknya merupakan kekuatan sekiranya dipandu dengan sikap saling menghormati, memahami dan berkongsi matlamat yang sama.

“Dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, kita mesti sentiasa menghormati dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Jika saling bertelagah, ia bukan sahaja tidak membantu negara maju, malah boleh mengundang lebih banyak kerosakan dan ketidakstabilan.

“Ketika negara semakin menghampiri musim pilihan raya, rakyat tidak seharusnya membiarkan perbezaan pandangan politik memecahbelahkan masyarakat sebaliknya, kita perlu menjunjung semangat kematangan, hormat-menghormati dan perpaduan,” katanya.

Beliau berucap pada Festival Pancaragam Belia Antarabangsa Taiping 2026 di sini semalam.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia berjaya disenaraikan sebagai antara 12 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global, satu pencapaian yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat.

Mengulas mengenai festival berkenaan, beliau berkata, penyertaan pancaragam belia dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Hong Kong membuktikan individu daripada pelbagai budaya dan negara mampu hidup serta bekerjasama dalam suasana harmoni walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza.

“Muzik melangkaui batas kaum, agama, bahasa dan kewarganegaraan. Ia merupakan bahasa sejagat yang mampu memupuk persahabatan, menyemai harapan serta mengukuhkan hubungan antara komuniti merentasi sempadan,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, pendidik, sukarelawan, penaja dan rakan komuniti yang bertungkus-lumus menjayakan festival berkenaan sehingga berjaya mengangkat warisan Taiping serta kekayaan budaya Malaysia di persada dunia.

Beliau berharap persahabatan yang terjalin sepanjang festival itu akan terus berkekalan dan menyeru rakyat Malaysia menghayati nilai-nilai yang dibawa oleh muzik seperti rasa hormat, disiplin, persefahaman dan perpaduan sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara yang lebih kukuh serta harmoni.

“Apabila muzik mampu menyatukan kita, maka kita perlu terus membina jambatan perpaduan dan bukannya membenarkan pihak tertentu membina tembok yang memisahkan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN