Kos besar urus skuad kebangsaan

Kos besar urus skuad kebangsaan

Skuad Harimau Malaya dijangka akan dipanggil berkumpul dalam masa terdekat bagi menjalani sesi latihan untuk persiapan menghadapi saingan Piala ASEAN 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengakui badan induk itu memperuntukkan dana yang besar untuk menguruskan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan, peruntukan itu bukan untuk skuad senior Harimau Malaya semata-mata, kerana perbelanjaan itu merangkumi pasukan wanita dan juga pasukan bawah umur kebangsaan.

Ketika ini katanya, kos perbelanjaan juga meningkat apabila skuad kebangsaan menyertai kejohanan di luar negara, selain kos penerbangan dan penginapan, FAM juga perlu menyediakan elaun buat pemain sepanjang tempoh berkenaan.

“Perbelanjaan FAM ini paling besar memang skuad kebangsaan. Skuad kebangsaan anda kena ingat (bukan setakat) skuad kebangsaan senior lagi, Bawah 23 Tahun (B-23), B-19 dan B-17, perbelanjaan memang cukup tinggi.

“Futsal lelaki, futsal perempuan, bola sepak wanita, pelbagai peringkat umur itu semua skuad kebangsaan. Itu yang dimaksudkan itu, bukan anda bercakap tentang skuad kebangsaan senior. Itu memang perbelanjaan tinggi.

“Ini kerana cukup saya katakan kalau kita (contohnya) pergi Mongolia, tiket penerbangan dekat RM3,000. Belum lagi (kos) hotel penginapan dengan elaun semua. Itu sebab kos minimum pergi pun cecah RM400,000 hingga RM500,000,” katanya.

Dalam pembentangan audit sebelum ini, Timbalan Setiausaha Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Vahid Kardany mendedahkan FAM menggunakan 70 peratus dana untuk pasukan kebangsaan dan pentadbiran, manakala 30 peratus untuk pembangunan.

Susulan pendedahan itu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menyatakan pihaknya akan memantau perbelanjaan FAM bagi memastikan setiap dana yang diterima dapat digunakan sebaik mungkin.

Mengulas lanjut, Hamidin percaya, saranan AFC menerusi laporan audit semasa Kongres Luar Biasa FAM baru-baru ini mampu meningkatkan kualiti pentadbiran FAM ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kita ambil kesempatan ini supaya kita bina pada satu tahap yang tinggi dan kita nak penstrukturan semula FAM betul-betul antara yang terbaik. Tetapi, kena faham apa yang telah diumumkan dan yang dibuat oleh kualiti audit ni banyak mengikut AFC dan FIFA.

“Tetapi bukan bererti salah. Saya nak sampaikan ini satu pembaharuan dibuat seperti yang Windsor katakan, menyatakan bahawa perkara yang kita buat ini kita nak menaikkan dan membaik pulih FAM,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN