PETALING JAYA: Usaha keras pelari jarak jauh negara, Umar Osman selama tiga tahun untuk memburu rekod kebangsaan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memecahkan catatan tersebut pada Kejohanan Olahraga Terbuka New Taipei di Taiwan, Sabtu lalu.
Atlet kelahiran Johor itu mencipta sejarah apabila merekodkan masa 45.73 saat (s) dalam saingan separuh akhir acara 400 meter (m) yang berlangsung di Stadium Banqiao.
Kejayaan tersebut mengakhiri penantian panjang Umar yang tidak pernah berputus asa mengejar impian untuk memperbaharui rekod 46.09s yang dilakukannya dalam saringan separuh akhir ketiga Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Chengdu, China, 2 Ogos 2023.
“Saya berasa sangat gembira sebab saya fikir untuk rekod kebangsaan 45.73s ini saya tunggu selama tiga tahun.
“Alhamdulillah, selepas penat lelah menjalani latihan, jatuh bangun saya tetap mahu mencapainya. Alhamdulillah, saya dapat melakukannya,” katanya.
Bagaimanapun, Umar tidak dapat meneruskan rentak cemerlang itu dalam perlumbaan akhir apabila sekadar berpuas hati menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 46.42s untuk membawa pulang pingat perak.
Tidak terhenti di situ, Umar sekali lagi mempamerkan ketahanan fizikal dan mental apabila meraih perak kedua menerusi acara 800m selepas mencatat masa 1:49.40s.
Pencapaian membanggakan di bumi Taiwan itu menjadi suntikan motivasi buat Umar untuk terus meningkatkan prestasi menjelang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 20 Jun ini.










