Kedudukan Aaron-Wooi Yik dalam RTG bakal berubah

Kedudukan Aaron-Wooi Yik dalam RTG bakal berubah

KEDUDUKAN Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam RTG bakal berubah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan pemain beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam Program Road To Gold (RTG) bakal berubah selepas kedua-dua pemain itu kini tidak lagi digandingkan bersama.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, apabila berlaku penstrukturan semula yang membabitkan atlet di bawah program tersebut, Jawatankuasa RTG akan membincangkan secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dan sudah pasti apabila ada penstrukturan, maka di peringkat RTG atau jawatankuasa RTG juga kita akan membincangkan berkenaan perkara tersebut.

“Kita akan bawa untuk melihat penstrukturan tersebut dan juga yang paling penting adalah atlet itu sendiri. Jadi, sebarang penstrukturan dan sebagainya kita akan kemaskini setelah ada perbincangan di dalam RTG itu sendiri, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukan Aaron-Wooi Yik dalam RTG selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan memisahkan pasangan yang pernah menghadiahkan pingat gangsa pada dua edisi Sukan Olimpik.

Perubahan tersebut menyaksikan Aaron bakal digandingkan bersama pemain muda, Tee Kai Wun manakala Wooi Yik dengan Man Wei Chong, untuk beberapa kejohanan sebagai sebahagian daripada penilaian jangka panjang.

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik kekal dipilih untuk menyertai program RTG susulan kejayaan mereka berada di kedudukan ketiga terbaik dunia bagaimanapun ranking tersebut bakal berubah selepas kedua-dua pemain itu tidak lagi bersama.

Berdasarkan kriteria utama program RTG, setiap atlet perlu berada dalam kedudukan kelapan terbaik dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN