TAMPA, Florida: Jaringan awal masa kecederaan separuh masa pertama oleh Harry Kane sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat England ke atas New Zealand dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia, awal pagi tadi.
Namun, di sebalik kemenangan itu, skuad kendalian Thomas Tuchel masih belum mempamerkan taring sebenar apabila berdepan kesukaran memecahkan benteng lawan yang jauh lebih rendah kedudukannya dalam ranking dunia.
Kane sekali lagi membuktikan sentuhannya berbisa apabila menyempurnakan hantaran Djed Spence untuk meledak gol antarabangsa ke-79 buat England, sekali gus memastikan The Three Lions menamatkan aksi di Stadium Raymond James dengan kemenangan.
Penyerang Bayern Munich itu meneruskan musim luar biasanya apabila gol tersebut menjadi jaringan ke-67 yang dihasilkannya bersama kelab dan negara musim ini.
England menguasai hampir keseluruhan perlawanan, namun cuaca panas serta lembap di Florida nyata menjejaskan rentak permainan mereka.
New Zealand pula memilih pendekatan lebih defensif dan berjaya mengehadkan kerosakan walaupun berdepan tekanan berterusan.
Tuchel turut menggunakan perlawanan itu sebagai medan eksperimen apabila menukar keseluruhan kesebelasan utama pada babak kedua, sekali gus menyaksikan dua barisan berbeza diturunkan sepanjang 90 minit.
England akan membuka kempen Piala Dunia menentang Croatia pada 17 Jun sebelum meneruskan cabaran dalam Kumpulan L bersama Ghana dan Panama.
Walaupun kemarau trofi utama kini mencecah enam dekad, The Three Lions masih dilabel antara calon utama kejuaraan berdasarkan rekod konsisten mereka yang sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam empat kejohanan besar terakhir.
Bagi New Zealand, kekalahan tipis itu sekurang-kurangnya memberi sedikit keyakinan selepas dibelasah Haiti 0-4 minggu lalu, menjelang aksi Kumpulan G yang turut dihuni Iran, Belgium dan Mesir.-AGENSI










