WINSTON-SALEM: Pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah Curacao meskipun skuad Die Mannschaft dianggap sebagai pilihan untuk memenangi aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026, Isnin ini.
Selepas dua edisi berturut-turut berakhir dengan kekecewaan apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan pada 2018 dan 2022, Jerman kini berdepan tekanan untuk membuktikan mereka masih berada dalam kelompok elit bola sepak dunia.
Justeru, Schlotterbeck menegaskan fokus penuh perlu diberikan kepada perlawanan pertama kerana sebarang kecuaian boleh mengundang padah dalam kejohanan sebesar Piala Dunia.
Walaupun Curacao hadir sebagai pasukan paling kecil pernah layak ke Piala Dunia dengan populasi sekitar 150,000 penduduk, pemain Borussia Dortmund itu percaya lawan mereka memiliki kualiti yang tidak boleh dipandang enteng.
“Kami mengadakan perbincangan mengenai Curacao semalam. Mereka pasukan yang baik dan memiliki ramai pemain yang dibangunkan menerusi sistem bola sepak Belanda.
“Bagaimanapun, kami adalah pasukan pilihan dan saya yakin kami akan memenangi perlawanan ini,” katanya.
Untuk Jerman, kejohanan kali ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk mengembalikan maruah yang tercalar selepas dua kempen Piala Dunia terdahulu berakhir lebih awal daripada jangkaan.
Sementara itu, Curacao yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Dick Advocaat, hadir ke Amerika Syarikat dengan reputasi sebagai pasukan yang berdisiplin serta dibarisi ramai pemain yang mempunyai latar belakang pembangunan bola sepak Belanda.
Faktor itu menjadikan mereka pasukan yang mampu menyukarkan mana-mana lawan walaupun tidak memiliki sejarah besar di pentas antarabangsa.-AGENSI










