Jerman enggan leka selepas benam Curacao 7-1

Jerman enggan leka selepas benam Curacao 7-1

REAKSI pemain Jerman selepas menewaskan Curacao 7-1 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Houston, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan anak buahnya tidak boleh terlalu selesa meskipun mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia, semalam.

Menurut Nagelsmann, kejayaan itu memberi suntikan keyakinan kepada pasukan, namun dia mengingatkan bahawa cabaran yang lebih sukar menanti sekiranya mereka mahu melangkah jauh dalam kejohanan berprestij tersebut.

Jerman memulakan perlawanan dengan cemerlang sebelum dikejutkan dengan gol penyamaan Curacao untuk mengikat kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, juara dunia empat kali itu bangkit untuk mendahului 3-1 sebelum rehat dan terus menguasai permainan pada babak kedua bagi melengkapkan kemenangan besar.

“Ia adalah permulaan yang sangat baik. Dalam tempoh 15 minit pertama kami mencipta banyak peluang, namun gol penyamaan Curacao hadir di luar jangkaan.

“Apa yang menggembirakan saya ialah cara pemain bertindak balas selepas itu. Curacao bermain lebih baik daripada yang dijangkakan ramai pihak dan mereka menunjukkan keberanian sepanjang perlawanan,” katanya.

Julian Nagelsmann

Nagelsmann berkata, menjaringkan tujuh gol pada peringkat Piala Dunia bukan sesuatu yang mudah, justeru dia berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh pasukannya.

Bagaimanapun, Nagelsmann menegaskan masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya.

“Kami berada di landasan yang tepat, tetapi masih ada perkara yang boleh dipertingkatkan. Kami sedar lawan yang lebih kuat sedang menanti dalam kejohanan ini,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan pasukannya, Nagelsmann berkata, Jerman berjaya mengekalkan kesabaran ketika kedudukan terikat 1-1 sebelum meningkatkan tempo permainan pada separuh masa kedua.

“Satu pasukan hadir dengan harapan yang sangat tinggi manakala satu lagi tidak mempunyai tekanan yang sama. Dalam situasi itu, kami perlu kekal tenang dan sabar.

“Para pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan bermain dengan intensiti yang tinggi. Jika kami mampu mengekalkan tahap itu, peluang untuk mengharungi kejohanan yang baik adalah cerah,” katanya.

Nagelsmann turut mengakui kemenangan tersebut amat penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan serta mengembalikan kepercayaan penyokong di tanah air.

“Kami memerlukan kemenangan yang meyakinkan seperti ini. Keyakinan memang sudah ada, tetapi kini ia semakin meningkat.

“Penting untuk menunjukkan kepada rakyat Jerman bahawa kami mampu menghasilkan prestasi terbaik,” katanya.

Jerman dijadual berdepan Ivory Coast dalam aksi seterusnya di Toronto pada Sabtu ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN