TEXAS: Impian Belanda untuk memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan tiga mata penuh hancur selepas mereka terikat 2-2 dengan Jepun dalam aksi pertama Kumpulan F di Stadium Dallas, semalam.
Turun selaku pasukan pilihan dalam aksi tersebut, skuad kendalian Ronald Koeman menguasai sebahagian besar permainan pada babak pertama malah turut mencipta beberapa peluang untuk menembusi gawang lawan.
Begitu pun, naib juara dunia pada edisi 2010 itu terpaksa menanti hingga minit ke-51 untuk memperoleh gol pertama mereka hasil tandukan pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian, Hajime Moriyasu tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Keito Nakamura menyamakan kedudukan enam minit kemudian.
Belanda merencana serangan bertali arus terhadap kubu Jepun dan mereka berjaya kembali berada di depan hasil rembatan kaki kiri Crysencio Summerville pada minit ke-64.
Ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada Belanda, skuad Samurai Blue melakukan asakan bertubi-tubi pada lima minit terakhir permainan dan usaha mereka nyata berbaloi apabila Daichi Kamada menanduk gol penyamaan ketika permainan berbaki seminit menuju tamat.

Selepas ini, Belanda akan bertemu Sweden di Houston manakala Jepun menentang Tunisia di Guadalupe dengan kedua-dua aksi tersebut diadakan pada 20 Jun ini. – AGENSI










