NILAI: Dominasi ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dalam acara pecut berpasukan wanita elit terus utuh apabila membantu Kedah meraih pingat emas buat kali kelima berturut-turut pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, semalam.
Kejayaan itu sekali lagi membuktikan status Izzah sebagai antara aset paling bernilai dalam kem pecut negara apabila belum pernah gagal menghadiahkan emas kepada Kedah sejak melangkah ke kategori elit pada 2022.
Bergandingan bersama Nurul Nabilah Mohd Asri dan Nur Fitrah Shaari, trio Kedah mencatat masa 50.912 saat (s) untuk menewaskan Selangor yang meraih perak menerusi catatan 52.626s, manakala Terengganu membawa pulang gangsa dengan masa 53.181s.
Menariknya, kejayaan tersebut hadir ketika Kedah hanya diperkuatkan seorang pelumba skuad kebangsaan berbanding pencabar lain yang turut dibarisi beberapa atlet Program Podium.
“Alhamdulillah, hari pertama saya dapat menyumbang pingat emas untuk Kedah. Kami berjaya mencatat masa 50 saat dan keputusan itu memang sangat baik untuk kami.
“Kami bersaing dengan negeri-negeri yang turut memiliki pelumba kebangsaan, jadi saya memang bersyukur dan sangat gembira dengan keputusan ini,” kata Izzah kepada pemberita selepas kejohanan di sini, semalam.
Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu enggan terlalu lama dibuai kejayaan kerana fokus utamanya ketika ini adalah mengumpul sebanyak mungkin mata ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia hujung tahun ini di Shanghai, China.
Menurutnya, setiap perlumbaan mempunyai nilai tersendiri dalam usaha memperkukuhkan kedudukan ranking dunia meskipun pungutan mata yang ditawarkan di Kejohanan Kebangsaan tidak sebesar kejohanan antarabangsa.
“Memang saya mahu dapatkan lebih banyak mata kerana sasaran utama tahun ini adalah Kejohanan Dunia. Walaupun mata di sini tidak terlalu tinggi, ia tetap penting untuk kami.
“Atas sebab itu saya perlu terus memperbaiki aspek taktikal, keberanian dan masa kayuhan supaya prestasi saya sentiasa meningkat menjelang Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.
Selepas menghadiahkan emas buat Kedah, Izzah dijangka kembali menjadi tumpuan dalam acara keirin wanita elit hari ini apabila bakal berdepan pencabar utama termasuk rakan sepasukan kebangsaan, Nur Alyssa Mohd Farid.
Sementara itu, Selangor mengungguli acara pecut berpasukan lelaki elit selepas mencatat masa terpantas 46.847s untuk menewaskan Johor yang meraih perak dengan catatan 46.971s, manakala Negeri Sembilan membawa pulang gangsa menerusi masa 49.349s.










