GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan gencatan senjata di Gaza sebagai ‘ilusi kejam dan membawa maut’, selepas melaporkan seorang kanak-kanak Palestin terbunuh secara purata setiap hari sejak perjanjian itu diumumkan.
UNICEF berkata, sekurang-kurangnya 265 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak Oktober 2025, ketika penghentian permusuhan diisytiharkan, namun serangan Israel ke atas Gaza masih berterusan.
“Dalam tempoh itu, seorang kanak-kanak telah terbunuh secara purata setiap hari selama lebih lapan bulan,” kata jurucakap UNICEF, James Elder, kepada pemberita di Geneva.
Beliau berkata, kematian berterusan itu mendedahkan kerapuhan gencatan senjata yang disifatkan gagal melindungi kanak-kanak Palestin daripada serangan Israel.
“Ketika dunia terus menggunakan bahasa gencatan senjata, keluarga di Gaza masih mengebumikan anak lelaki dan perempuan mereka,” katanya.
Elder berkata, kanak-kanak Gaza terbunuh di rumah, sekolah dan kawasan awam, termasuk ketika bermain bola sepak atau memancing.
“Minggu ini sahaja, seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun ditembak mati oleh tentera Israel, kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ditembak mati dalam khemahnya dan seorang kanak-kanak lelaki 5 tahun dan bapanya terbunuh dalam serangan udara Israel,” katanya.
Menurut UNICEF, lebih 400 kanak-kanak turut cedera sejak Oktober lalu, dengan sebahagiannya mengalami kecederaan parah.
Beliau turut menyifatkan situasi di kawasan itu sebagai amat berbahaya, merujuk kepada perluasan berterusan sempadan kawalan Israel yang digelar Garisan Kuning dan Garisan Oren.
Sekatan dan operasi ketenteraan Israel juga memerangkap kanak-kanak di tengah sistem kesihatan yang lumpuh, dengan hospital berdepan kekurangan ubat, bahan api, tenaga kerja dan peralatan selepas berbulan-bulan dibedil serta dikepung.
Elder berkata, kesan psikologi terhadap kanak-kanak di Gaza kini berada pada tahap sangat membimbangkan, dengan ketakutan dan keganasan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.- AL JAZEERA










