ISTANBUL: Permohonan visa skuad kebangsaan Iran diluluskan untuk mereka beraksi di Piala Dunia 2026 yang bermula pada 11 Jun ini.
Perkara itu disahkan Duta AS ke Turkiye, Tom Barrack, menerusi hantaran di platform X yang memaklumkan proses visa pasukan Iran telah diselesaikan oleh pihak Kedutaan AS di Ankara.
“Saya bangga dengan pasukan di Kedutaan AS di Ankara atas usaha memproses visa skuad kebangsaan Iran ke Piala Dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sukan menjadi jambatan merentasi sempadan, sambil menzahirkan keterujaan untuk menerima kehadiran pasukan dan penyokong dari seluruh dunia ke kejohanan berprestij itu.
Difahamkan, skuad Iran akan berlepas dari Turkiye ke Sepanyol hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke kem latihan di Mexico, yang turut meluluskan kemasukan mereka.
Iran sebelum ini merancang untuk berlatih di AS, namun menukar lokasi susulan ketegangan geopolitik antara Washington dan Tehran.
Walaupun berpangkalan di Mexico sepanjang kejohanan, Iran tetap akan beraksi di AS bagi ketiga-tiga perlawanan kumpulan mereka.
Dalam aksi pembukaan, Iran akan menentang New Zealand di Los Angeles pada 16 Jun ini, sebelum berdepan Belgium di venue sama, dan menutup saingan kumpulan menentang Mesir di Seattle.
Ketegangan serantau yang membabitkan AS dan Iran sebelum ini turut mencetuskan kebimbangan, namun perkembangan terkini menyaksikan pentas Piala Dunia kekal menjadi medan penyatuan dunia bola sepak.-AGENSI










