SUNGAI PETANI: Dua anggota Tentera Darat yang maut akibat terkena letupan bom disahkan sedang mengikuti latihan membaling grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun.
Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan, insiden terbabit berlaku kira-kira pukul 10.57 pagi ketika latihan berkenaan sedang dijalankan.
Mangsa yang terlibat ialah anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan anggota Skuadron Pertama RAJD, Prebet Siti Khadijah Sungip, 21.
“Kedua-dua anggota mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu. Jenazah kedua-dua anggota dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan sama memaklumkan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan dua anggota terbabit serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan Tentera Darat memberi jaminan bahawa segala aspek keselamatan latihan akan terus diberi perhatian.
Pada masa sama, sebarang penambahbaikan yang sewajarnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan kelak. – UTUSAN







