ALOR SETAR: Polis sudah merakam keterangan tujuh saksi bagi membantu siasatan kejadian letupan grenad yang mengorbankan dua anggota tentera di lapang sasar Kem Hobart, Gurun dekat sini, pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, pihaknya akan memanggil lagi mana-mana individu berkaitan kejadian itu sekiranya perlu untuk siasatan lanjut sama ada jurulatih dan pelatih yang mengikuti latihan berkenaan.
“Setakat ini kita menjalankan siasatan di bawah kes kematian mengejut (SDR) dan buat masa ini tiada unsur foul play. Dalam masa sama, pihak tentera juga akan menjalankan siasatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini malam ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar kejadian dan menghormati ahli keluarga mangsa.
Terdahulu, akhbar melaporkan dua anggota tentera maut akibat letupan grenad ketika dalam Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Mangsa, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), manakala Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama RAJD. – UTUSAN










