Dua anggota tentera maut parah bahagian atas badan - Utusan Malaysia

Dua anggota tentera maut parah bahagian atas badan

KEM Hobart yang terletak di Gurun, lokasi dua anggota tentera maut akibat terkena letupan bom di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kecederaan parah pada bahagian atas badan dialami dua anggota tentera yang maut akibat letupan bom ketika menjalani latihan di Kem Hobart, Gurun, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kebanyakan kecederaan yang dialami Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, adalah bahagian pinggang ke atas.

Katanya, pihaknya akan membuka kertas siasatan sebagai kes mati mengejut (SDR).

“Kita akan mendapatkan kerjasama semua pihak untuk menjalankan siasatan di tempat kejadian. Selain itu, kita akan merakam percakapan saksi-saksi yang berada di lokasi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sedang menyiasat lanjut insiden tersebut termasuk jumlah anggota yang terlibat dalam latihan berkenaan.

Terdahulu, Tentera Darat (TDM) mengesahkan insiden pada pukul 10.57 pagi berlaku semasa Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

Koperal Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama RAJD mengalami kecederaan akibat letupan semasa latihan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN