Letupan grenad: Jenazah Koperal Norazmi selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Letupan grenad: Jenazah Koperal Norazmi selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jenazah Koperal Norazmi Abu Bakar yang meninggal dunia akibat letupan ketika latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 40 tahun dibawa ke kampung halaman di Kampung Tupah Lama terlebih dahulu, sejurus proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selesai.

Proses pengebumian selesai dilakukan pada pukul 5.25 pagi dengan dihadiri kira-kira 300 orang terdiri daripada rakan setugas dan ahli keluarga yang memberi penghormatan terakhir.

Pengebumian dijalankan mengikut istiadat ketenteraan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.

Suasana bertukar hiba sebaik Jalur Gemilang disampaikan Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd. Fouzi Sulaiman kepada balu Allahyarham, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.

Allahyarham Norazmi meninggalkan dua anak iaitu Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.

Terdahulu, Tentera Darat (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun.

Dalam kejadian pukul 10.57 pagi, Norazmi dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, darii Skuadron Pertama RAJD meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, jenazah Siti Khadijah dibawa pulang ke Johor untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak di Kluang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN