ALOR SETAR: Ungkapan ‘abang nak balik tengok mak’ masih terngiang pada telinga seorang ibu yang kehilangan anaknya dalam insiden letupan bom tangan ketika latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, semalam.
Menurut Fatimah Ismail, 78, dia tidak menyangka bahawa anaknya, Allahyarham Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, akan pulang ke rumah mereka di Kampung Tupah, Merbok pada malam sebelum kejadian.
“Kira-kira 11.30 malam dia sampai rumah, saya belum tidur lagi, tiba-tiba nampak lampu kereta masuk ke laman. Dia kata baru sampai dari Gurun, Jumaat lepas dia dah balik bersama isteri dan dua anaknya, mereka bermalam di sini jadi saya hairan bila dia balik lagi seorang diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, Allahyarham yang tinggal di Pokok Sena memaklumkan mahu pulang untuk menziarahinya sebelum kembali menyambung tugas di kem berkenaan sebagai jurulatih sehingga minggu depan.
“Malam itu dia kata, ‘abang nak balik tengok mak’. Jadi, saya pun tanya dia dah makan atau belum. Dia kata dah makan tapi saya kata ada masak gulai ikan, saya suruh dia makan kalau nak. Dia cedok sendiri gulai dan makan seorang diri, habis seketul ikan besar dan makan nasi banyak,” ujarnya.
Fatimah mengakui terdetik di hatinya melihat selera makan anaknya yang luar biasa pada malam itu kerana biasanya dia hanya makan sedikit bila pulang ke rumahnya dan kadang-kala langsung tidak menjamah apa-apa makanan.
“Dalam hati saya terdetik ‘lapar sungguh anak aku malam ini’ jadi saya suruh dia makan puas-puas dan saya masuk tidur dulu sebab mengantuk sangat. Selepas itu, dia keluar sebentar membeli barang sebelum pulang dan tidur di ruang tamu yang menjadi lokasi kegemarannya.
“Pagi semalam sebelum Subuh saya kejut dia tanya masuk kerja pukul berapa, dia kata pukul 7 pagi. Masa itu dia masih tidur berselimut tebal dan saya rasa badan dia sejuk sangat-sangat” katanya.
Ujarnya, Allahyarham sempat minum secawan kopi panas sebelum berangkat ke tempat kerja dan Fatimah sempat berpesan agar Norazmi tidak memandu laju kerana hari masih awal.
“Kemudian saya duduk di bangku luar rumah tunggu sampai tak nampak lagi kereta dia yang tak pernah saya buat sebelum ini, saya rasa sangat sayang kepadanya masa itu dan nak tengok muka dia. Sebenarnya masa dia balik Jumaat hari itu pun saya nampak muka dia lain sikit, kulit putih, muka manis dan nampak segak tapi saya tak cerita pada sesiapa,” katanya.
Fatimah berkata, panggilan telefon daripada menantunya, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38, kira-kira pukul 12 tengah hari mengubah segalanya apabila dia dimaklumkan anak ketiga daripada lima beradik itu telah meninggal dunia.
“Isteri dia suruh saya banyak bersabar. Berkali-kali dia ulang perkara yang sama sebelum beritahu suaminya sudah tiada. Saya terkejut sangat kerana tak sangka dia pergi dahulu sebelum saya yang sudah berusia,” katanya.
Sementara itu, tambah Fatimah, Allahyarham bercita-cita menjadi anggota tentera sejak muda walaupun pernah mendapat peluang kerja di hospital selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Tetapi dia tolak sebab minat sungguh nak jadi askar, dia mula dengan wataniah sebab permohonan kali pertama tak berjaya sebelum akhirnya diserap masuk sebagai anggota tetap dan bakal berpencen tahun depan,” katanya. – UTUSAN









