Impak Bellingham nadi kemenangan England

Impak Bellingham nadi kemenangan England

JUDE Bellingham meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk mengemudi Three Lions menewaskan Panama 2-0 sekali gus muncul juara Kumpulan L Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Jude Bellingham membuktikan statusnya sebagai nadi baharu England apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk mengemudi Three Lions menewaskan Panama 2-0 sekali gus muncul juara Kumpulan L Piala Dunia 2026.

Persembahan cemerlang pemain tengah berusia 22 tahun itu turut mencetuskan nyanyian ikonik Hey Jude yang bergema di Stadium New York/New Jersey sebagai tanda penghargaan penyokong England terhadap aksinya.

Selepas buntu memecahkan benteng Panama selama lebih sejam, Bellingham akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-62 apabila menyempurnakan sepakan penjuru Bukayo Saka meskipun dikawal ketat pertahanan lawan.

Lima minit kemudian, bintang Real Madrid itu sekali lagi menjadi pemangkin apabila melorongkan hantaran lintang tepat kepada Harry Kane yang menanduk masuk gol kedua England.

Jaringan itu bukan sahaja memastikan kemenangan selesa England, malah menyaksikan Kane meledak gol ke-11 di pentas Piala Dunia untuk muncul penjaring terbanyak England dalam sejarah kejohanan.

Kemenangan itu turut melengkapkan sasaran awal skuad kendalian Thomas Tuchel untuk mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan.

Bagi Bellingham, aksi itu menjadi jawapan terbaik selepas melalui musim yang mencabar bersama Real Madrid akibat kecederaan serta prestasi tidak menentu, selain pernah dikritik sebahagian penyokong England.

“Secara peribadi, saya gembira dapat mengetepikan segala kritikan dan menunjukkan kepada negara serta rakan sepasukan betapa komitednya saya untuk membantu pasukan memenangi perlawanan.

“Tugas pertama sudah selesai. Kami datang dengan sasaran untuk muncul juara kumpulan dan kami berjaya melakukannya.

“Kami tahu kemampuan sebenar pasukan ini. Apa yang penting sekarang ialah terus meningkatkan prestasi setiap hari,” katanya.

Tuchel pula menyifatkan Bellingham memainkan peranan besar dalam kemenangan tersebut.

“Dia memberikan persembahan yang sangat baik. Saya gembira melihat tahap permainannya ketika ini dan dia memainkan peranan yang sangat besar untuk pasukan,” kata pengendali England itu.

Bellingham turut memuji Kane yang berjaya mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak England di Piala Dunia.

“Dia sentiasa meningkatkan tahap permainannya. Itulah ganjaran yang layak diterimanya atas segala usaha sebagai kapten. Kualitinya memang tidak perlu dipersoalkan,” ujar Bellingham.

Selain membantu England menamatkan saingan kumpulan dengan bergaya, Bellingham turut melakar sejarah peribadi apabila muncul pemain Eropah termuda beraksi dalam empat kejohanan utama berturut-turut melibatkan Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN