Guler jadi ancaman Socceroos

Guler jadi ancaman Socceroos

ARDA Guler-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Australia bakal berdepan ujian getir dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia 2026 apabila turun menentang Turkiye yang diperkuatkan bintang muda sensasi, Arda Guler, esok.

Pemain Real Madrid berusia 21 tahun itu dijangka menjadi senjata utama Turkiye yang kembali beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia selepas kali terakhir muncul pada edisi 2002.

Ketika Australia hadir dengan reputasi sebagai pasukan yang sukar ditewaskan, kehadiran Guler memberi dimensi berbeza kepada jentera serangan Turkiye yang dilihat semakin matang.

Tonggak pertahanan Socceroos, Milos Degenek mengakui pasukannya perlu memberi perhatian khusus kepada Guler yang mampu mengubah keputusan perlawanan.

“Kami tahu kualitinya. Dia bermain untuk Real dan mempunyai kemampuan luar biasa serta mampu mengubah keputusan perlawanan.

“Namun kami tidak akan mengubah identiti permainan sendiri (tidak bertahan) hanya kerana seorang pemain sahaja,” kata Degenek.

Australia bagaimanapun memiliki pengalaman lebih luas di pentas Piala Dunia selepas layak ke enam edisi berturut-turut sejak 2006 termasuk mara ke pusingan 16 terbaik di Qatar empat tahun lalu.

Turkiye pula hadir dengan misi mengembalikan kegemilangan selepas pencapaian terbaik mereka apabila menamatkan kempen di tempat ketiga pada Piala Dunia 2002. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN