FOXBOROUGH: Maghribi semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Scotland 1-0 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Gillette, awal pagi tadi.
Wira kemenangan skuad Afrika Utara itu ialah Ismael Saibari yang meledak gol tunggal perlawanan seawal 71 saat permainan bermula, sekali gus menjaringkan gol kedua berturut-turut dalam kejohanan kali ini.
Gol pantas itu hadir apabila Saibari bijak menyambar hantaran Brahim Diaz ketika barisan pertahanan Scotland gagal mengawal keadaan sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Angus Gunn.
Maghribi menguasai sebahagian besar babak pertama dengan corak permainan lebih tersusun dan berkualiti, manakala Scotland bergelut untuk mencipta peluang berbahaya.
Selepas rehat, skuad kendalian Steve Clarke tampil lebih agresif dalam usaha memburu gol penyamaan, namun Maghribi hampir menggandakan kelebihan apabila percubaan Saibari terkena palang selepas terkena tampanan pemain lawan.
Keputusan itu menyaksikan Maghribi mengumpul empat mata selepas seri 1-1 dengan Brazil dalam aksi pembukaan, sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati menjelang perlawanan terakhir menentang Haiti.
Scotland pula kekal dengan tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Haiti sebelum ini dan masih berpeluang mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama.
Skuad The Tartan Army bagaimanapun berdepan tugas getir apabila dijadual menentang Brazil dalam aksi terakhir kumpulan, Khamis depan.-AGENSI










