FIFA bayar RM2.6 juta kepada Sassuolo selepas Kone patah kaki

FIFA bayar RM2.6 juta kepada Sassuolo selepas Kone patah kaki

PEMAIN Kanada, Ismael Kone diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan serius akibat terjahan pemain Qatar, Assim Madibo dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, Vancouver, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VANCOUVER: Kelab Itali, Sassuolo dijangka menerima pampasan hampir RM2.63 juta daripada FIFA susulan kecederaan serius yang dialami pemain tengah mereka, Ismael Kone ketika mewakili Kanada di Piala Dunia 2026.

Kone mengalami patah kaki selepas diterjah pemain Qatar, Assim Madibo, dalam kemenangan bergaya Kanada 6-0 di Vancouver.

Insiden ngeri pada awal babak kedua itu menyaksikan Madibo dilayangkan kad merah selepas pengadil membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), sebelum beliau dilaporkan memohon maaf kepada Kone di bilik persalinan.

Pemain berusia 24 tahun itu diusung keluar sambil melambai kepada penyokong yang melaungkan namanya sebelum dikejarkan ke hospital.

Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui suasana di stadium menjadi suram selepas insiden berkenaan.

“Mereka yang berada berhampiran boleh mendengar bunyi tulangnya patah. Semua orang sangat terkesan dengan apa yang berlaku kepadanya,” katanya.

Persatuan Bola Sepak Kanada kemudian mengesahkan Kone berjaya menjalani pembedahan bagi membaiki kecederaan patah pada anggota bawah dan dijangka pulih sepenuhnya.

Walaupun tiada tempoh rasmi diumumkan, Kone dijangka terpaksa berehat antara empat hingga lima bulan.

Susulan kecederaan itu, FIFA akan membayar pampasan kepada Sassuolo menerusi Program Perlindungan Kelab FIFA yang melindungi pemain yang cedera ketika menjalankan tugas antarabangsa.

Berdasarkan gaji tetap Kone yang dilaporkan mencecah £22,600 (RM120,000) seminggu, Sassuolo dijangka menerima kira-kira £480,000 (RM2.63 juta) memandangkan pemain itu dijangka tidak dapat beraksi selama hampir lima bulan.

“Sassuolo mengesahkan pembedahan untuk membaiki patah pada kaki kiri beliau berjalan dengan jayanya sepenuhnya dan pemain akan memulakan program pemulihan dalam beberapa hari lagi,” menurut kenyataan kelab itu.

Kanada kini perlu meneruskan kempen mereka tanpa Kone apabila dijadual menentang Switzerland di Vancouver, Rabu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN