Dua pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut dilanggar lori muatan ayam - Utusan Malaysia

Dua pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut dilanggar lori muatan ayam

DUA pekerja penyelenggaraan lebuh raya maut dilanggar lori membawa muatan ayam di kilometer 49.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, Kulai, awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Dua pekerja penyelenggaraan lebuh raya termasuk seorang warga asing maut selepas dilanggar sebuah lori yang membawa muatan ayam di Kilometer 49.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu lori Syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) iaitu lelaki tempatan berusia 43 tahun dan kelindannya, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 56 tahun.

Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori tangki yang dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun dan lori Propel berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di lorong kiri jalan.

“Bagaimanapun, datang sebuah lori lain dari arah belakang yang dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama kelindan warga tempatan berusia 23 tahun merempuh bahagian belakang sebelah kanan lori propel tersebut.

“Akibat impak pelanggaran yang kuat, pemandu dan kelindan lori propel yang berada di kawasan kerja penyelenggaraan itu maut serta-merta di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Seng Lee berkata, pemandu lori dari arah belakang dan kelindannya yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Kulai bagi menerima rawatan lanjut, manakala pemandu lori tangki dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi talian 017-7573507 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN