MELAKA: Pengorbanan dan jasa bakti dalam membangunkan ummah serta institusi keluarga mendapat pengiktirafan apabila Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz dan Maimunah Sulaiman dinobatkan sebagai penerima anugerah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka.
Datuk Abdul Rahim, 75, menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah (Abu Bakar As-Siddiq) atas sumbangan besar beliau dalam bidang dakwah, pendidikan al-Quran dan pembangunan masyarakat Islam selama lebih empat dekad.
Abdul Rahim berkata, anugerah tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus menyumbang kepada agama dan masyarakat walaupun sudah bersara daripada perkhidmatan rasmi.
“Segala pengiktirafan ini adalah anugerah daripada Allah SWT. Saya berharap ia menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama dan berbakti kepada masyarakat,” katanya ditemui di sini semalam
Penyampaian anugerah berkenaan telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd Rustam pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M ‘Madani Dihayati Ummah Diberkati’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Masjid Al-Falihin, Kampung Alai.
Pesara Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kampung Chenderah itu merupakan antara tokoh agama yang banyak menabur bakti dalam memperkukuhkan syiar Islam di negeri ini dan negara.
Sementara itu, Maimunah Sulaiman, 76, dari Tanjung Kling menerima Anugerah Tokoh Ibu Inspirasi (Fatimah Az-Zahra) atas ketabahan dan pengorbanannya membesarkan lima orang anak sebagai ibu tunggal selama hampir 30 tahun.
Menurut Maimunah, perjalanan hidup sebagai ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau bersyukur kerana berjaya membesarkan empat anak lelaki dan seorang anak perempuan sehingga memperoleh pendidikan terbaik.
Beliau berkata, selepas kehilangan suami yang merupakan seorang pegawai tentera, fokus utamanya sebagai suri rumah sepenuh masa adalah memastikan anak-anak mendapat pendidikan sehingga ke peringkat universiti.
“Menjadi ibu tunggal ini bukan senang namun saya bersyukur dapat membesarkan anak dengan sempurna selepas kehilangan suami adalah memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik sehingga ke peringkat universiti.
“Saya pastikan mereka belajar dan tidak terjebak dengan perkara tidak baik. Alhamdulillah semua sudah berjaya,” katanya. – UTUSAN










