TEHERAN: Walaupun penerbangan ke Iran dari negara asing dihentikan akibat sekatan ekonomi Amerika Syarikat (AS), terdapat laluan darat dari Turkiye yang masih boleh digunakan untuk keluar dan masuk Republik Islam itu.
Sebahagian penumpang dari negara Barat boleh memilih untuk terbang ke Turkiye sebelum meneruskan perjalanan dengan bas selama kira-kira 17 jam ke bandar Van, berhampiran sempadan Iran.
Mereka boleh menyeberangi sempadan ke Iran dari Van dan meneruskan perjalanan ke Teheran melalui jalan darat, yang mengambil masa kira-kira 16 hingga 17 jam lagi menggunakan bas atau kereta.
Ini bermakna perjalanan dari Turkiye ke Teheran boleh mengambil masa lebih 30 jam di jalan raya, tidak termasuk tempoh penerbangan, urusan menyeberangi sempadan dan masa menunggu.
Empat agensi pelancongan yang mengkhususkan perjalanan ke Iran berkata, laluan darat itu menjadi antara pilihan penumpang ketika penerbangan terus ke negara berkenaan semakin terhad.
Agensi itu, yang meminta nama mereka tidak didedahkan, berkata, perniagaan mereka turut terjejas apabila penumpang mencari alternatif untuk meneruskan perjalanan ke Iran.
Perjalanan udara semakin sukar selepas beberapa syarikat penerbangan asing menghentikan perkhidmatan ke Iran.
Turkish Airlines menggantung penerbangan ke Iran sehingga sekurang-kurangnya Mac 2027, manakala Emirates tidak lagi mengendalikan penerbangan ke Teheran.
Lufthansa dan Austrian Airlines pula menggantung penerbangan pergi dan balik ke Iran sehingga sekurang-kurangnya 24 Oktober. Syarikat Qatar Airways turut menangguhkan penerbangan ke Iran susulan sekatan ruang udara.
Keadaan itu berlaku selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, sekatan baharu AS akan secara berkesan menutup syarikat penerbangan Iran daripada operasi antarabangsa mulai Rabu.
Syarikat penerbangan terbabit memerlukan bahan api, pengendalian darat, penjualan tiket, perkhidmatan perbankan dan kemudahan lain untuk beroperasi di peringkat antarabangsa. – AGENSI











