PETALING JAYA: Polis menjadi kumpulan penjawat awam terbesar menerima ganjaran kerajaan selepas melaporkan menolak aduan pemberian atau penerimaan rasuah bagi tempoh 2012 hingga 2025.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, keseluruhan RM1.18 juta ganjaran diberikan kepada 652 penjawat awam sebagai penghargaan terhadap tindakan mereka melaporkan kegiatan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, polis antara empat agensi utama yang merekodkan jumlah penerima pengiktirafan tertinggi dengan 437 individu.
Katanya, jumlah itu diikuti Jabatan Imigresen Malaysia sebanyak 64 penerima, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (33) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) (21).
“Antara kes berprofil tinggi ialah penolakan tawaran rasuah bernilai RM200,000 oleh seorang pegawai polis di Perlis susulan kes rampasan syabu seberat 1.8 tan, selain kes penolakan suapan RM45,000 di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Halim berkata, bagi siri penilaian 2026, seramai 54 calon penjawat awam daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan sekretariat untuk penilaian.
Katanya, jumlah itu membabitkan 38 calon polis, MBIP (12), DBKL (3) dan Jabatan Imigresen Malaysia (1).
“Penilaian tahun ini membabitkan 30 kertas siasatan dengan jumlah nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.
“Semua calon yang dinilai melepasi proses tapisan keutuhan SPRM dan semakan rekod jenayah polis bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan ditetapkan.
“Daripada jumlah itu, seramai 529 individu diperaku menerima ganjaran berserta sijil, manakala 123 individu diperaku menerima sijil penghargaan,” katanya.











