PETALING JAYA: Perubahan cuaca tidak menentu di Jepun sedikit merencatkan persiapan akhir atlet dressage negara, Diani Lee Cheng Ni, menjelang penampilannya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang dijadual berlangsung 25 September ini.
Jurulatih ekuestrian negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil berkata, cuaca yang berubah-ubah menyebabkan jadual latihan Diani bersama kudanya terpaksa disesuaikan, termasuk menangguhkan sesi latihan akibat hujan.
“Cuaca bertukar-tukar jadi masa latihan kerap bertukar. Itu pun akan beri kesan kepada kuda. Kadang-kadang hujan, kemudian angin dan keadaan itu menyebabkan kuda ada kalanya okay, tetapi ada juga yang mula menunjukkan reaksi.
“Kuda boleh jadi gementar dengan angin yang kuat atau hujan lebat. Jadi kita kena uruskan perkara itu dan agak sukar untuk dikawal kerana ia banyak bergantung kepada kuda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Qabil berkata keadaan kuda Diani ketika ini berada dalam keadaan baik dan tenang selepas melalui beberapa hari latihan di Jepun.
“Setakat ini kuda dia agak tenang untuk dua tiga hari ini. Cuaca pun sekarang alhamdulillah sudah berubah dan hari ini hujan sudah berhenti. Harap-harap cuaca baik akan datang untuk kita teruskan latihan,” katanya.
Diani, yang kembali beraksi di Sukan Asia selepas kali terakhir menyertainya pada edisi 2010 di Guangzhou dijadual memulakan saingan pada 25 September sebelum meneruskan pusingan kelayakan kedua sehari kemudian.
Daripada saingan kelayakan itu, hanya 15 penunggang terbaik akan mara ke final individu pada 27 September, dengan Qabil meletakkan sasaran realistik untuk Diani menempah tiket ke peringkat berkenaan.
“Target kita kali ini untuk masuk final. Insya-Allah kalau boleh masuk final, itu sasaran yang realistik buat masa ini,” katanya.
Qabil mengakui cabaran Diani kali ini cukup besar kerana Malaysia hanya menghantar seorang penunggang dalam acara individu, selain berdepan kekurangan kuda bertaraf Sukan Asia yang menyukarkan usaha membentuk pasukan. – UTUSAN











