PETALING JAYA: Malaysia dan Republik Tatarstan bersetuju meneroka kerjasama lebih luas dalam sektor perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal, teknologi serta pembangunan bakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya bersama Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov sejurus tiba di Kazan, Rusia.
Menurut beliau, sektor tenaga turut menjadi tumpuan utama memandangkan Tatarstan merupakan antara wilayah pengeluar minyak utama di Rusia.
“Kami melihat ruang kerjasama yang luas dalam industri minyak dan gas, termasuk aktiviti hiliran, penapisan serta petrokimia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu turut menyentuh peranan Kazan Forum dalam memperkukuh hubungan perniagaan, selain membuka peluang baharu dalam bidang inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik.
Dalam pada itu, Anwar merakamkan ucapan tahniah kepada Kazan atas pengiktirafannya sebagai Bandar Kebudayaan Dunia Islam 2026 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ICESCO).
Katanya, pengiktirafan tersebut mencerminkan peranan Kazan sebagai pusat keilmuan Islam, kebudayaan dan inovasi.
Anwar berkata, beliau menghargai visi Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam mewujudkan Strategic Vision Group (SVG) yang berperanan sebagai jambatan antara Rusia dengan dunia Islam.
Katanya, inisiatif itu penting dalam memperkukuh dialog serta kerjasama yang lebih bermakna antara kedua-dua pihak.
“Semoga pertemuan ini terus mempererat hubungan Malaysia dan Tatarstan serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN










