PETALING JAYA: Kecewa dengan lambakan pempengaruh media sosial yang meraih populariti murahan, pelakon Ammar Alfian menegaskan keputusan untuk bersara daripada dunia lakonan adalah langkah paling tepat yang pernah dilakukannya.
Ammar atau Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 39, berkata, dia membuat keputusan itu selepas melihat industri hiburan masa kini sudah berubah landskap apabila lebih mementingkan golongan pempengaruh yang terkenal hanya disebabkan kandungan media sosial yang tidak berfaedah.
“Dahulu pelakon, penyanyi, dan pelawak menghiburkan orang ramai menerusi seni, pengorbanan, serta bakat yang mereka miliki.
“Namun kini, ada yang menjadi terkenal hanya disebabkan melakukan perkara bodoh di hadapan kamera.
“Mereka menggelarkan perkara itu sebagai ‘pempengaruh’ walhal golongan tersebut hanyalah berlagak kaya, menjadi guru palsu, gangster dalam talian, serta pencari drama. Inilah yang menjadi hiburan pada masa sekarang. Dunia sudah terbalik,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Mengulas lanjut, pelakon yang terkenal dengan imej sasa itu menegaskan bahawa jumlah pengikut yang ramai di platform media sosial bukanlah satu ukuran kejayaan atau pencapaian yang boleh dibanggakan.
“Bukan semua individu yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai itu mempunyai nilai. Jumlah pengikut bukanlah satu pencapaian, tetapi jasa yang diberikan adalah perkara yang lebih penting.
“Saya rasa saya telah membuat keputusan yang betul untuk bersara daripada dunia seni. Saya lebih rela meninggalkan industri ini daripada terus bersaing di dalam sebuah sarkas,” katanya.
Untuk rekod, Ammar mula dikenali menerusi drama popular Tari Tirana pada tahun 2009 sebelum terus mengukuhkan namanya sebagai pelakon filem aksi menerusi watak antagonis dalam filem pecah panggung, Paskal pada tahun 2018.










