HOUSTON: Jurulatih Curacao, Dick Advocaat menegaskan anak buahnya tidak perlu berasa malu meskipun dibelasah Jerman 7-1 dalam penampilan sulung negara Caribbean itu di pentas Piala Dunia.
Bekas pengendali Belanda berusia 78 tahun itu mengakui pasukannya gagal menandingi kehebatan juara dunia empat kali tersebut, selain melakukan beberapa kesilapan yang membuka ruang kepada jaringan mudah pihak lawan.
Menurutnya, kekalahan besar itu tidak seharusnya mematahkan semangat pemain kerana mereka masih berpeluang mencipta kejutan dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan.
“Kami perlu menjadikan penyertaan ini sebagai satu pengalaman yang indah. Masih ada peluang untuk mencipta kejutan dalam perlawanan kedua dan ketiga.
“Pada akhirnya, kami akan tetap berbangga kerana menjadi sebahagian daripada kejohanan bola sepak terbesar di dunia,” katanya selepas perlawanan di Houston.
Jerman memulakan aksi dengan cemerlang apabila Felix Nmecha meledak gol terpantas kejohanan sebelum pasukan Eropah itu terus menguasai permainan.
Bagaimanapun, Curacao sempat menggembirakan penyokong mereka apabila rembatan Livano Comenencia yang terkena pemain lawan berjaya menewaskan penjaga gol berpengalaman, Manuel Neuer untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Jerman kembali mendominasi perlawanan dan menambah enam lagi jaringan untuk menamatkan aksi dengan kemenangan besar.
“Kami menjangkakan dapat memberikan tentangan yang lebih sengit, tetapi hakikatnya mereka terlalu kuat. Kami juga melepaskan beberapa gol mudah.
“Pemain-pemain tahu bahawa kekalahan ini bukan sesuatu yang memalukan. Mereka tidak perlu terlalu kecewa,” katanya.
Dalam pada itu, Advocaat turut memuji semangat penyokong Curacao yang terus memberikan sokongan tanpa henti walaupun pasukan mereka ketinggalan dengan jurang jaringan yang besar.
Dia turut mengakui detik nyanyian lagu kebangsaan sebelum sepak mula memberikan kesan emosi yang mendalam kepadanya sehingga terpaksa berundur seketika ke kawasan bangku simpanan.
“Ia berkait rapat dengan kegembiraan rakyat Curacao. Ketika itulah emosi mula menguasai diri saya.
“Kegembiraan yang ditunjukkan oleh rakyat di negara kami benar-benar luar biasa,” katanya. – AGENSI










