HOUSTON: Pertahanan muda Jerman, Nathaniel Brown menyifatkan jaringan sulungnya di pentas Piala Dunia sebagai detik yang sukar digambarkan selepas membantu pasukannya membelasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Houston, semalam.
“Menjaringkan gol dalam perlawanan pertama Piala Dunia, dengan keluarga saya berada di stadium, kemudian dapat meraikannya bersama rakan-rakan sepasukan, ia sesuatu yang benar-benar luar biasa,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Jerman memulakan kempen mereka dengan penuh bergaya apabila Felix Nmecha membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi rembatan menarik hasil hantaran Florian Wirtz.
Bagaimanapun, Curacao yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia tidak mudah mengalah apabila Livano Comenencia menyamakan kedudukan menerusi rembatan yang terkena pemain lawan sebelum menewaskan penjaga gol veteran, Manuel Neuer.
Brown berkata, gol yang dibolosi itu tidak menjejaskan keyakinan pasukan walaupun ia memberi suntikan semangat kepada lawan.
“Gol yang kami bolosi itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi itulah sebahagian daripada permainan. Saya bangga kerana kami tidak menundukkan kepala dan terus fokus untuk bangkit,” katanya.

Jerman kembali menguasai permainan apabila Nico Schlotterbeck meletakkan pasukannya di hadapan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru pada minit ke-38 sebelum Kai Havertz menambah jaringan menerusi sepakan penalti menjelang tamat babak pertama.
Bersambung ke separuh masa kedua, Jamal Musiala hanya memerlukan 69 saat untuk meledak gol ketiga Jerman sebelum Brown menceriakan malamnya dengan gol pertama di pentas antarabangsa.
Deniz Undav kemudian menambah jaringan keenam pasukan sebelum Havertz melengkapkan kemenangan bergaya Jerman menerusi gol kedua peribadinya.
Keputusan itu bukan sahaja memberikan tiga mata berharga kepada skuad kendalian Julian Nagelsmann, malah meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk memburu tiket ke pusingan kalah mati menjelang pertemuan lebih mencabar menentang Ecuador dan Ivory Coast. – AFP










