MIAMI: Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila pasukannya sekadar mencatat dua keputusan seri dalam kempen Kumpulan H Piala Dunia 2026.
Uruguay bermula hambar apabila diikat 1-1 oleh Arab Saudi sebelum sekali lagi seri 2-2 dengan pendatang baharu kejohanan, Cape Verde sekali gus menimbulkan persoalan terhadap prestasi dan kerapuhan benteng pertahanan mereka.
Bielsa, 70, menegaskan pasukannya memiliki peluang cukup untuk mengutip enam mata penuh, namun kesilapan organisasi menjadi punca utama mereka kehilangan mata berharga.
“Kemudian anda tanya saya bagaimana untuk memperbaikinya? Dalam situasi seperti itu, tiada formula ajaib untuk menyelesaikannya. Ia adalah keadaan yang berlaku dalam bola sepak.
“Dan tidak perlu diperkatakan lagi, kami membayar harga yang sangat tinggi untuk kesilapan itu. Sangat mahal untuk dibolosi gol seperti yang kami boloskan,” katanya.
Bielsa berkata, pasukannya perlu bertanggungjawab untuk bangkit dan menewaskan juara Eropah, Sepanyol di Guadalajara pada Jumaat ini untuk layak ke pusingan 32.
“Ia adalah cabaran yang sangat besar untuk kami semua. Saya ketua jurulatih. Saya bertanggungjawab.
“Uruguay hanya mampu mengumpul dua mata daripada enam setakat ini dan dengan skuad yang (Sepanyol) ada, kami perlu memperbaiki imej kami menentang lawan yang sangat kuat.
“Tetapi sama sekali saya tidak akan mengatakan bahawa kami tidak akan masuk ke perlawanan itu dengan tahap motivasi yang tertinggi,” katanya. – AGENSI










