CARACAS: Penduduk Venezuela kini terpaksa mencari sendiri ahli keluarga yang hilang ketika masa semakin suntuk untuk mengesan mangsa terselamat susulan dua gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Rabu lalu.
Jumlah korban terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 920 orang dan lebih 51,000 lagi dilaporkan masih hilang.
Di kawasan paling teruk terjejas, orang ramai dilihat menggali runtuhan bangunan menggunakan tangan sendiri selepas mendakwa kekurangan kehadiran pasukan penyelamat kerajaan di lokasi bencana.
Penduduk berkata, hanya sedikit pasukan penyelamat kelihatan di kawasan yang dilanda gempa berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter, walaupun pihak berkuasa menggambarkan operasi bantuan berjalan lancar dan tersusun.
“Kami merayu bantuan daripada kerajaan dan negara di seluruh dunia. Masih ada orang yang hidup di dalam sana,” kata seorang penduduk, Nazareth Jimenez, ketika giat mencari keluarganya yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Kekurangan bantuan memburukkan lagi keadaan terdesak keluarga apabila tekanan untuk mencari mangsa terselamat semakin meningkat setiap jam.
Agensi bantuan menganggap tempoh 48 hingga 72 jam pertama sebagai masa paling kritikal untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup, walaupun tempoh itu boleh dilanjutkan jika mangsa mempunyai akses kepada makanan dan air.
Agensi penyelarasan bantuan kemanusiaan PBB, OCHA, memaklumkan pasukan penyelamat dari sekurang-kurangnya 17 negara sedang digerakkan bagi membantu mencari mangsa yang masih terselamat.
Pasukan penyelamat dari Sepanyol, El Salvador, Switzerland, Colombia dan Mexico sudah pun berada di lokasi bencana.
Kelmarin, pihak berkuasa Venezuela mengumumkan penutupan akses ke La Guaira, kawasan paling teruk terjejas, selepas keadaan huru-hara dan kesesakan trafik mula mengganggu usaha menyelamat.
Pegawai kerajaan berkata, mereka yang ingin memasuki kawasan tersebut kini perlu mendapatkan permit rasmi, namun tidak memberikan butiran lanjut pihak yang akan dibenarkan masuk.
Penduduk di Caracas mengejek pemimpin sementara, Delcy Rodriguez, ketika beliau melawat kawasan kejiranan yang musnah teruk kelmarin, susulan kemarahan orang ramai terhadap kelewatan dan kegagalan pihak berkuasa memberi tindak balas sewajarnya.
Penduduk juga dilaporkan kecewa apabila bantuan yang tiba hanyalah sebahagian kecil daripada keperluan sebenar.- AP










