Bangkit dari dibelasah Messi

Bangkit dari dibelasah Messi

Pemain Algeria meraikan kemenangan mereka ke aras Jordan hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTA CLARA: Algeria membuktikan mereka belum tersingkir daripada radar Piala Dunia 2026 apabila bangkit daripada kekalahan 0-3 kepada Argentina untuk menewaskan Jordan 2-1 sekali gus menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati.

Skuad kendalian Vladimir Petkovic yang dibolosi hatrik Lionel Messi pada aksi pembukaan mempamerkan wajah berbeza dengan aksi lebih tersusun dan berkarakter dalam pertemuan sesama negara Arab itu.

Menguasai sebahagian besar permainan di Stadium San Francisco Bay Area, Algeria menggunakan kombinasi hantaran kemas, larian agresif dan kreativiti di bahagian tengah untuk memecahkan benteng Jordan.

Kapten berpengalaman, Riyad Mahrez turut memainkan peranan penting apabila sentiasa menjadi ancaman selain mencetuskan gerakan yang membawa kepada kebangkitan pasukannya.

Algeria akhirnya meraih kemenangan 2-1 menerusi jaringan Amine Gouiri dan Nadhir Benbouali sekali gus menyingkirkan Jordan daripada saingan lebih awal.

“Kami menunjukkan kekuatan mental untuk bangkit semula dan saya fikir pasukan ini terus berkembang dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kemenangan yang hadir melalui semangat juang serta karakter ini sangat penting dan mampu memberikan keyakinan besar kepada kami untuk mengharungi baki saingan,” kata Gouiri.

Pemain Marseille itu percaya kemenangan tersebut boleh menjadi titik perubahan buat Algeria yang kini hanya memerlukan keputusan positif menentang Austria pada aksi terakhir Kumpulan J untuk mengintai tiket ke pusingan kalah mati. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN