Seattle: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kemaraan lebih awal ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Australia 2-0 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Seattle, awal pagi tadi.
Selaku tuan rumah bersama kejohanan, AS tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi jaringan sendiri Cameron Burgess.
Gol berpunca daripada gerakan pantas Folarin Balogun yang berjaya melepasi benteng pertahanan Australia sebelum hantaran lintangnya tertampan Burgess dan menerjah gawang sendiri.
AS kemudian menggandakan kelebihan beberapa minit sebelum rehat hasil tandukan jarak dekat Alex Freeman.
Jaringan Freeman pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid, namun keputusan itu berubah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mengesahkan gol berkenaan, sekali gus menghangatkan suasana di Stadium Seattle.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Mauricio Pochettino mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati lebih awal.
AS akan melengkapkan saingan Kumpulan D dengan menentang Turkiye di Stadium Los Angeles pada Jumaat, manakala Australia yang kekal dengan tiga mata masih berpeluang memburu tempat ke pusingan 32 terbaik apabila berdepan Paraguay di Stadium Bay Area, San Francisco.
Sepanjang perlawanan, AS tampil lebih tersusun dan menguasai permainan dengan tidak memberikan banyak ruang kepada Australia untuk mencipta peluang berbahaya.
Keputusan itu sekali gus meletakkan AS di landasan terbaik untuk menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan D, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan kali ini.-AGENSI










