KANSAS CITY: Aksi cemerlang penjaga gol, Eloy Room menjadi faktor utama Curacao mengutip mata pertama dalam sejarah Piala Dunia selepas seri 0-0 menentang Ecuador, sebentar tadi.
Ecuador, yang menamatkan saingan kelayakan Amerika Selatan di tangga kedua, melakukan 28 percubaan termasuk 15 tepat ke sasaran, namun semuanya digagalkan oleh ketangkasan Room pada aksi di Kansas City.
Catatan 15 aksi penyelamat itu juga menjadi rekod tertinggi sejak 1966 bagi penjaga gol pada perlawanan Piala Dunia tanpa masa tambahan.
Curacao, yang membuat penampilan sulung pada pusingan akhir Piala Dunia, sebelum ini tewas 1-7 kepada Jerman tetapi bangkit memperbaiki persembahan pada perlawanan kedua mereka.
Meskipun Ecuador mendominasi hampir keseluruhan perlawanan, mereka gagal memanfaatkan penguasaan bola yang mencecah 65 peratus pada babak pertama.
Room beberapa kali menafikan percubaan berbahaya termasuk daripada bekas penyerang West Ham, Enner Valencia dan Gonzalo Plata.
Curacao turut sesekali mengancam melalui serangan balas, namun kekal lebih banyak bertahan sepanjang perlawanan.
Pada akhir perlawanan, pemain Curacao meraikan keputusan seri itu sebagai satu pencapaian besar dalam sejarah bola sepak negara mereka.
Keputusan itu memastikan peluang Curacao untuk terus bersaing dalam kejohanan masih terbuka, manakala Ecuador kini perlu menunggu keputusan perlawanan seterusnya menentang Jerman. – AFP










