JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pingat dan darjah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada 23 Mac 2026 kepada seramai 107 penerima.
Pengurniaan Darjah dan Pingat disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Batu Pahat, Kluang dan Mersing di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, hari ini.
Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Zulhelmi Masdar mendahului senarai tersebut.
Baginda berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada beliau yang membawa gelaran Datuk.
Seramai 29 penerima dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), manakala Pingat Jasa Dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP) seramai 19 penerima; Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (46 penerima) dan Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga (13 penerima).
Terdahulu, Majlis Darjah dan Pingat dimulakan dengan Bacaan Doa oleh Kadi Daerah Mersing dan Sembah Ucapan Taat Setia oleh Pegawai Daerah Kluang diiringi Pegawai Daerah Batu Pahat dan Mersing. – UTUSAN










